Penghargaan Yang Tak Kesampaian

the-life-givers

Ramai antara kita pernah gagal. Gagal dalam pelajaran, gagal dalam pekerjaan, gagal dalam kekeluargaan dan seumpamanya. Lantaran kegagalan itu manusia sering berubah perwatakan dengan harapan kita dapat melupakan kenangan pahit kegagalan untuk mencipta sebuah kebahagiaan yang mendatang. Benar, perkara itu amat pasti berlaku kerana sifat manusia itu sendiri yang tidak suka akan kegagalan atau apa jua keburukan.

Jika anda seorang yang sering gagal, pernah gagal, selalu gagal, kecundang, dan apa jua definisi yang sama terhadapnya, sekalung tahniah ke atas diri anda kerana masih berjaya membaca artikel ini hingga saat ini. Artikel ini untuk orang yang gagal seperti anda dan saya kerana saya juga selalu gagal dalam hidup. Jack Ma, seorang ahli perniagaan dari China yang kaya raya itu juga pernah gagal dalam hidup.

Saya suka sekali menjadikan beliau sebagai cerita kehidupan yang boleh membakar semangat saya untuk terus mencari kejayaan. Tidak lupa juga kepada watak Zainuddin yang diceritakan oleh Buya Hamka dalam novel karangan beliau Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Ada dua kunci yang membuat ramai orang gagal dan kecundang. Dari kaya jatuh miskin, dari miskin jatuh fakir, dan dari fakir menjadi gila. Dari si gila menjadi seorang yang mati dalam hidup. Dua kunci tersebut adalah Wang dan Wanita. Mengapa saya berkata begitu? Kerana ramainya lelaki yang jatuh kerana seorang wanita, dan ramainya wanita jatuh kerana wang. Maka disitu jelas dua kombinasi hebat ini amat besar pengaruhnya dalam perjalanan hidup kita. Kita ambil contoh yang mudah, seorang lelaki yang gagal dalam percintaan, dia tidak akan mampu membiarkan seseorang itu untuk tetap disampingnya walau apa pun berlaku. Padahal dia merasakan dirinya telah berusaha semampu mungkin untuk menyelamatkan hubungan tersebut. Dan dia juga sedar betapa dia sangat mencintai gadis yang ada didepan matanya.

Namun harus diingat, cinta itu kadang-kadang membutakan mata. Cinta itu seharusnya membahagiakan bukan menyiksa diri sesiapa. Baik anda mahupun pasangan anda! Perkara ini yang harus anda faham dan hadam. Bahkan jika harus berpisah untuk mendapatkan kebahagiaan pun, anda harus pasrah. Cinta sejati terkadang tak harus memiliki. Maka disaat kita tidak bisa memiliki apa yang kita cintai, saat itu kita perlu belajar untuk mencintai apa yang telah kita miliki.

Hidup ini singkat. Hargailah apa sahaja yang ada di depanmu. Ibumu, ayahmu, keluargamu, sahabatmu, guru-gurumu dan apa jua yang masih tersisa dalam hidupmu. Maka disitu pasti kita akan berjumpa dengan nikmatnya sebuah penghargaan. Sebuah penghargaan tidak memerlukan anda untuk berdendam dengan sesiapa pun. Senyum dan maafkan lah sesiapa sahaja yang pernah membuatmu jatuh.

Persoalan tentang cinta sangat subjektif untuk dijawab. Semoga sedikit perkongsian ini dapat mengetuk hati anda untuk terus bangkit dari kegagalan bagi mencari sebuah kejayaan. Hidup ini terlalu singkat untuk bersedih. Seperti lirik dalam lagu Siti Nurhaliza, “berjalanlah tanpa henti walau apa pun yang terjadi.” 

Kejayaan itu adalah pilihan diri sendiri. Kita yang harus memulakan langkah. Tidak ada siapa yang boleh mengarahkan kita untuk berjaya sebenarnya jika kejayaan itu adalah kehendak kita. Bukan Hayati, bukan Bang Muluk atau Bapak Habibie! Namun berterima kasih lah atas watak-watak yang pernah wujud dalam hidup anda yang membuka pintu untuk anda menjatuhkan airmata bahagia.

Kita tidak akan tahu betapa manisnya sebuah kejayaan andai kita tidak pernah merasa peritnya kegagalan. Begitu juga sebuah penghargaan. Kita tidak akan belajar indahnya penghargaan andai kita tidak pernah merasa kehilangan.

Semoga bermanfaat. Bertemu lagi dalam penulisan yang akan datang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *